Penerjun negara, Ooi Tze Liang, sedia menyahut cabaran untuk memburu tiket akhir ke Sukan Olimpik 2020 menerusi Kejohanan Piala Dunia di Jepun, April depan, untuk muncul sebagai wakil lelaki pertama yang melayakkan diri.

Tze Liang tidak berdepan tekanan biarpun Piala Dunia kali ini menjadi medan terakhir buatnya untuk meraih slot ke Tokyo.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu mahu memastikan tempat dalam acara 3 meter papan anjal individu terlebih dahulu berbanding acara seirama.

"Saya bersikap tenang sahaja bersandarkan apa yang boleh saya kawal," katanya.

Ketika ini, hanya penerjun wanita yang telah layak secara merit, iaitu Pandalela Renong, Leong Mun Yee, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri.

Dalam pada itu, Chew Yi Wei, yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika beraksi dalam Sukan SEA Filipina 2019 lalu, belum patah semangat untuk memberi saingan dalam Piala Dunia menerusi acara 3m papan anjal seirama bersama gandingannya, Tze Liang.

"Saya tidak fikir ia membebankan saya, cuma rutin sahaja memberi kesukaran buat saya.

"Segalanya masih mengikut perancangan asal," kata Yi Wei.

Tambah Tze Liang pula: "Saya yakin bahawa dia tahu apa yang perlu dilakukannya dalam tempoh ini seperti mendapatkan fisio, rehat dan berlatih secukupnya.

"Saya harap dia dapat menguruskannya dengan baik."



Editor: Shaiful Shamsudin