"Tempoh masa yang singkat."

Itu pendedahan ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, mengenai alasan dia menolak perancangan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuknya menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, MGF pening memikirkan persiapan buat Farah Ann untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas dia menolak tawaran ke AS sebagai medan persiapannya.

Terdapat beberapa spekulasi timbul mengenai keputusannya itu dan antara yang dibangkitkan ialah faktor umur yang menjadi sebab utama dia enggan ke sana.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Selangor itu tampil mendedahkan perkara sebenar adalah disebabkan tempoh masa yang singkat menjelang Sukan Olimpik, Julai depan.

"Ketika pengumuman cadangan untuk berlatih di AS itu dibuat, ia tidak dibincangkan dengan saya dan jurulatih.

"Sememangnya (peluang) berlatih di AS merupakan peluang yang sangat bagus tetapi disebabkan masa yang singkat dan berbaki enam bulan ini, saya dan jurulatih berpendapat adalah lebih baik saya kekal berlatih di Malaysia di samping rakan sepasukan," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Tambahnya, dia terbuka terhadap perancangan MGF untuk membawa jurulatih dari China, bagaimanapun ketika ini mengakui lebih selesa berlatih dengan barisan jurulatih sedia ada bagi persiapan menghadapi temasya Tokyo 2020.

"Setiap atlet mempunyai jurulatih kegemaran masing-masing yang sudah mengenali atlet mereka.

"Bagi saya, Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai merupakan jurulatih terbaik saya.

"Merekalah yang telah membantu meningkatkan persembahan saya dan kerana mereka jugalah saya dapat meraih pencapaian, terutama pada 2019 apabila layak ke Sukan Olimpik serta memenangi tiga pingat emas dalam Sukan SEA 2019."



Editor: Shaiful Shamsudin