Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) akan memohon satu tiket peluang khas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal menyaksikan persaingan di antara jaguh utama, Johnathan Wong dan Nur Suryani Mohamed Taibi, selepas wakil negara gagal layak secara merit.

Badan induk itu terpaksa memohon tiket peluang khas selepas sembilan penembak senior gagal menyinar dalam Kejohanan Asia di Doha, Qatar yang berakhir semalam.

Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) belum mengumumkan kuota tersebut tetapi jumlah
penembak Sukan Olimpik Tokyo tidak boleh melebihi 390 orang.

Berdasarkan rekod, peluang untuk NSAM meraih sekurang-kurangnya satu tiket peluang khas adalah
cerah.

"Kami perlu mengenal pasti atlet yang akan dihantar sebelum memastikan acara yang akan disertai.

"Ahli jawatankuasa dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan tentukan," kata pengurus menembak negara, Datuk Musa Omar, di Bukit Jalil hari ini.

Skuad menembak negara mempunyai wakil dalam setiap Sukan Olimpik sejak edisi 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

"Suryani berpeluang untuk terpilih dalam kategori rifle. Begitu juga dengan Johnathan yang konsisten dalam kategori pistol.

"Peluang penembak (untuk diberi peluang khas) tetap ada kerana penyertaan atlet negara dalam semua
Kejohanan Dunia.

"Ini kerana jika berdasarkan ranking, penembak negara dalam kalangan 15 terbaik dunia," kata penembak rifle negara, Mohd Yusri Jusoh.

Kegagalan layak secara merit ke Tokyo merupakan satu tamparan buat skuad negara.