Skuad badminton akan membawa semangat Olimpian Rio 2016 yang begitu hampir membutirkan pingat emas sulung Sukan Olimpik buat Malaysia dalam mencorak perincian fasa akhir menerusi Program Road to Tokyo 2020.

Berdasarkan peruntukan program itu yang diumumkan semalam, badminton menerima suntikan hampir RM6.5 juta.

Sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020, badminton menyasarkan kelayakan 12 pemain berbanding lapan ketika menyaksikan Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran dalam edisi Rio 2016.

Tambahan pula, empat pemain selain lapan yang disasarkan adalah beregu lelaki profesional, Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang menyumbang pingat perak di Brazil empat tahun lalu.




Meskipun skuad badminton hilang pengaruh prospek emas seperti Chong Wei, ia tidak bermakna mereka yang layak ke Tokyo, Julai depan, sekadar menjadi pelengkap jadual.

"Kami akan berbincang dengan pemain dari semasa ke semasa kerana pandangan pemain dan jurulatih amat penting bagi menentukan apa yang terbaik buat mereka dalam fasa akhir persiapan.

"Secara psikologi, ia akan melonjakkan keyakinan dan harapan mereka sebelum ke Tokyo.

"Kami juga membantu menyediakan aspek fisioterapi, urut dan psikologi.

"Tetapi ia bukan satu tindakan pada saat-saat akhir cuma ia sebagai tambahan kepada usaha yang telah dijalankan sebelum ini," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , Wong Choong Hann, kepada Shahrazad Sani di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.