Sergio Ramos mengagumkan pengurus Sepanyol, Robert Moreno, atas keinginannya mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sumber terdekat dengan Ramos minggu ini mendedahkan bahawa pertahanan Real Madrid dan Sepanyol itu yang dijangka menjadi pemain paling kerap mewakili negaranya pada hujung minggu ini, mahu merebut pingat emas di Tokyo.

Menurut akhbar Sepanyol, Marca, pasukan yang akan menyertai rombongan ke Jepun kelak dijangka akan dibarisi tonggak Kejohanan B-21 Eropah, Jun tahun depan.

Terdapat ruang untuk menyenaraikan beberapa pemain lebih senior dan langkah itu membuka pintu buat Ramos.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu juga dijangka memperkuatkan Sepanyol dalam Euro 2020, dan itu bermakna dia bakal menggalas tugas berat memandangkan jurang kejohanan itu berlangsung tidak jauh apabila diadakan pada pertengahan Julai.

Moreno, bagaimanapun, menyerahkan kedudukan Ramos dalam Sukan Olimpik itu kepada pengendali Sepanyol B-21, Luis de la Fuente.

"Saya tidak pernah bercakap mengenai Sukan Olimpik dengannya," kata Moreno mengenai Ramos.

"Hasratnya itu mentakrifkannya sebagai pemain bola sepak. Dia memasang satu lagi motivasi untuk menambah kejayaan dalam kerjayanya. Adalah sukar untuk terus bermotivasi setelah anda memenangi segala-galanya."

Moreno berkata ketua pasukan Real Madrid itu, yang akan membuat penampilan ke-168 buat pasukan La Roja ketika menentang Norway awal pagi esok, perlu membuktikan kewibawaannya wajar dipertimbangkan dalam Sukan Olimpik.

"Tidak adil bagi semua orang untuk memilih seseorang hanya bersandarkan nama," kata Moreno.

"Perkara yang adil adalah apabila semua pemain mengekalkan prestasi yang tinggi tetapi Sergio, yang saya lihat berlatih setiap hari, akan mengekalkan tahapnya.

"Apabila tiba masanya kelak, Luis de la Fuente perlu menentukan siapakah yang akan dibawanya dalam Sukan Olimpik."

La Roja memenangi emas ketika menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1992 yang turut dibarisi Luis Enrique dan Pep Guardiola.

Mereka meraih pingat perak di Sydney, lapan tahun kemudian ketika dibarisi Xavi dan Carles Puyol.