Jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, boleh menarik nafas lega setelah Wisma Putra mengumumkan bahawa pembaharuan visanya untuk berkelana ke Eropah telah diluluskan semalam.

Berita itu memberikan kelegaan buat Qabil Ambak -- yang kesuntukan masa untuk kembali ke Copenhagen, Denmark bagi menjalani latihan bersama kudanya, The Last Show -- untuk menyertai sekurang-kurangnya tiga lagi kejohanan bagi memperbaiki kedudukan rankingnya.

Dia merancang untuk menyertai dua siri Liga Piala Dunia Eropah di Austria dan Belgium selain satu lagi kejohanan di Jerman.

Biarpun diberikan kelulusan untuk berada selama 90 hari di Eropah, cabarannya kini adalah untuk mengutip mata maksimum dalam ketiga-tiga kejohanan itu sebelum hujung tahun ini.

Jika berjaya, dia akan menjadi atlet ekuestrian pertama negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Langkah seterusnya adalah untuk menyusun semula jadual dan saya harus memohon kepada penganjur untuk menyertai kejohanan.

"Insya-Allah, saya akan dapat menyertai tiga kejohanan kelayakan di Eropah," katanya.

Bagi memastikan impian itu tercapai, dia perlu menduduki dua ranking teratas Asia-Oceania.

Ketika ini, dia menghuni tangga ketiga di belakang ekuin New Zealand, Wendi Williammson, dan wakil Korea Selatan, Hwang Yong Shik.

"Saya cukup masa untuk menghabiskan pusingan kelayakan kerana ia akan tamat pada hujung bulan depan.

"Jadi, tempoh 90 hari ini memang mencukupi.

"Jika saya layak, langkah seterusnya diperlukan (memperbaharui semula visa) untuk saya berlatih dan membuat persiapan di Eropah," tambahnya.