Play-off kelayakan: Oltmans bawa rombongan lebih besar ke London 

Oleh Staff Writer 13 September 2019 248
Play-off kelayakan: Oltmans bawa rombongan lebih besar ke London 
Pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, berhasrat membawa lebih dua pemain ke London, England, sebagai pelan kecemasan untuk mengelak tragedi luar jangkaan bagi menghadapi aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang Great Britain. 

The Malaysian Hockey Tigers sekali lagi bakal mengharungi jadual yang padat sebelum aksi kelayakan Sukan Olimpik, 2 November depan.

Dengan latihan di Korea Selatan, perancangan mereka seterusnya adalah berkelana ke Eropah menentang dua kelab di Belanda, justeru pengendali berusia 65 tahun itu berhasrat membawa lebih dua pemain sebagai simpanan seandainya berlaku kejadian tidak diingini, khususnya melibatkan kecederaan.

Hanya 18 pemain boleh didaftarkan untuk beraksi dan Oltmans enggan mengambil risiko dengan meninggalkan sebarang pemain di tanah air sepanjang latihan mereka di luar negara.

"Kalaulah ada antara mereka yang ditimpa kecederaan, kami sudah membuat persediaan untuk menggantikan mereka.

"Misalnya (insiden) Syed Mohd Syafiq Syed Cholan yang ditimpa kecederaan ketika menjalani latihan dalam kempen perlawanan ujian Korea, maka terpaksalah kami mengharungi kempen aksi ujian itu dengan kekurangan satu pemain.

"Sudah tentu ia bukan situasi ideal untuk kami cuba layak ke Sukan Olimpik," katanya. 

Sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini turut terganggu dengan masalah jerebu, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sudah memasuki tahap tidak sihat dengan bacaan mencecah 119.

Beliau mengakui tidak menyenangi situasi itu kerana bakal menjejaskan kesihatan barisan pemainnya sehingga terpaksa menukar sesi latihan dalam dewan tertutup.

"Ia bukan lagi keadaan yang sihat dan boleh mendatangkan bahaya. 

"Kami juga telah berlatih dalam dewan tertutup sepanjang minggu ini kerana mengadakan ujian kecergasaan yang khusus," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen