Atlet terjun negara sedia menyahut cabaran jurulatih, Christian Brooker yang mahukan lebih ramai penerjun layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Sehingga kini, hanya penerjun wanita, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri telah menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Namun, belum ada penerjun lelaki layak beraksi di Tokyo 2020 dan Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2020 di Jepun dari 21-27 April depan akan menjadi medan terakhir untuk mendapatkan slot tersebut.

Penerjun lelaki negara seperti Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei ternyata tidak patah semangat, sebaliknya lebih bermotivasi untuk menyahut cabaran jurulatih itu, terutama selepas berjaya merangkul pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina.

Tze Liang berjaya mengekalkan pingat emas acara 3m papan anjal individu lelaki manakala gandingannya bersama Yiwei dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki, turut mendapat kilauan emas.

"Apa yang dikatakan jurulatih betul-betul memberikan kami motivasi, untuk pamer aksi lebih baik daripada dalam Sukan SEA. Kami akan cuba yang terbaik kerana saya rasa peluang untuk layak ke Sukan Olimpik sentiasa ada dan masih ada.

"Penerjun kena pastikan apa yang telah diajar sepanjang tempoh sebelum ini, dipraktikkan dengan sebaik mungkin nanti. Sekarang cuma tinggal lebih kurang empat bulan sebelum aksi Piala Dunia.

"Kami kena pastikan keadaan fizikal berada dalam keadaan terbaik tanpa sebarang kecederaan yang boleh merencatkan persembahan kami nanti," kata Tze Liang.

Atlet berusia 26 tahun itu mengakui berasa teruja untuk beraksi dalam Piala Dunia, terutama apabila diberikan tugas dan cabaran besar untuk dilaksanakan.

Namun, dalam masa sama, atlet berasal dari Pulau Pinang itu berkata beliau turut berasa debaran untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Kali pertama Tze Liang beraksi dalam Sukan Olimpik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, Yiwei yang mahu memastikan impiannya ke Sukan Olimpik buat kali pertama tercapai, akan memastikan dirinya mendapat latihan secukupnya tanpa mengalami kecederaan.

-- BERNAMA