Pelan "B" persiapan buat ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, akhirnya dimuktamadkan yang menyaksikan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bakal mengambil khidmat jurulatih luar negara.

Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Pertama 2020 MGF hari ini jelas membincangkan beberapa perkara mustahak apabila mengambil empat jam untuk selesai.

Salah satu perkara yang dibincangkan adalah pelan B bagi persiapan Farah Ann untuk mengharungi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas perancangan pertama badan induk itu tidak dipersetujui atlet tersebut.

Bagaimanapun, mesyuarat tersebut membuahkan hasil apabila MGF mencapai kata sepakat untuk mengambil khidmat jurulatih luar negara bagi membantu persiapan atlet itu.

"Kami akan mendapatkan jurulatih dari China yang secara teknikalnya akan membantu daripada segi rutin persembahan atlet negara.

"Ia aspek yang perlu diperbaikinya (Farah Ann) walaupun secara dasarnya prestasinya amat hebat.

"Kami memberi fokus dalam usaha membantunya dapat memberi saingan lebih jitu dalam Kejohanan Dunia.

"Dia kini di kedudukan ke-59 dunia dan kami berharap dia mampu mencabar dalam Sukan Olimpik," kata Presiden MGF, Rachel Lau.

Tambahnya, perancangan MGF pada 2020 akan lebih tertumpu terhadap program akar umbi serta giat mengadakan kursus kejurulatihan.

"2020 ini adalah tahun penting buat kami tetapi bukanlah di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu lebih giat mengadakan pembangunan program akar umbi.

"Kami berhasrat untuk melahirkan lebih ramai jurulatih tempatan dan adalah penting untuk melahirkan jurulatih dan atlet yang terdiri daripada kalangan rakyat Malaysia," katanya.




Editor: Shaiful Shamsudin