Majlis Sukan Negara (MSN) terus dengan jaminan memberikan segala kelebihan buat atlet yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tidak terkecuali kepada gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi.

Kejayaan Farah Ann itu tidak hanya bersandarkan tuah tetapi kerja keras daripada barisan kejurulatihan untuk memastikan pengaruh sukan gimnastik artistik Malaysia berkembang di pentas tertinggi dunia.

"Sesiapa yang layak ke Sukan Olimpik akan diberikan program khas. Kami akan berbincang dengan pihak jurulatih dan persatuan mengenai latihan Farah ke arah Tokyo 2020," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

"Ini merupakan petanda positif untuk pembangunan sukan gimnastik di Malaysia. Kami akan berusaha untuk membantunya untuk bersaing dengan atlet bertaraf dunia di Tokyo nanti."

Pencapaian Farah Ann melebarkan pembentukan kontinjen Malaysia ke Tokyo 2020 kepada lapan atlet daripada tiga jenis sukan.

MSN menjangkakan proses itu akan berlanjutan sehingga Julai 2020, termasuk beberapa sukan lain seperti golf.

"Kami perlu menunggu sehingga proses kelayakan berakhir Julai tahun depan. Seperti edisi sebelum ini, dua atlet negara dalam acara golf layak secara merit dan kami berharap ia akan berulang sekali lagi."