Tindakan pencabar untuk tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Jun lalu mengundang persoalan buat barisan pemanah recurve wanita negara dalam pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi Kejohanan Asia di Thailand bermula Sabtu ini.

Pemanah recurve wanita negara menamatkan sesi latihan terakhir di Bukit Jalil hari ini sebelum berlepas ke Bangkok esok.

Tiga pemanah terbaik individu akan meraih tiket dengan Malaysia menyandarkan harapan kepada Nur Alia Abd Ghapar dan Nur Afisa Abd Halil.

Cuma, mereka dibelenggu persoalan mengenai pencabar dari Kazakhstan, Indonesia, Mongolia dan Vietnam yang tidak menyertai sebarang kejohanan sejak tamat Kejohanan Dunia.

"Kami tidak meletakkan harapan tinggi.

"Kami hanya berikan fokus kepada diri sendiri dan walau apapun, kami berjanji akan berikan aksi yang terbaik," kata Nur Afisa.

Nur Alia turut sependapat dengan berkata: "Kami tidak dapat mengagak cabaran dalam temasya kali ini.

"Kalau ada rezeki dapat layak, Alhamdulillah."

Malaysia sudah menyertai dua saingan sejak Kejohanan Dunia, iaitu Kejohanan Ujian Sukan SEA Filipina dan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik.

Setakat ini, hanya Khairul Anuar Mohamad yang layak ke temasya Tokyo 2020 selepas meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia.

Pemanah wanita terakhir yang layak ke Sukan Olimpik ialah Nurul Syafiqah Hashim dalam temasya London 2012.