Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, meluahkan hasratnya untuk berkelana ke Eropah apabila diletakkan sebagai keutamaan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 32 tahun itu meraih tangga kelapan dengan catatan 2.27 meter dalam final Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar, Sabtu lalu.

Sebelum itu, dia melakukan lompatan setinggi 2.29m dalam pusingan kelayakan, hanya kurang 4sm daripada had kelayakan ke temasya berkenaan.

Bagi membantu Hup Wei mencapai sasaran itu, KOM bersedia untuk memberikan keutamaan untuknya berlatih di luar negara.

Ekoran itu, dia memilih Eropah sebagai destinasi tersebut kerana saingan di sana lebih mencabar dan dapat membantunya untuk meningkatkan prestasi.

"Destinasi terbaik bagi saya ialah Eropah kerana banyak kejohanan dan atlet yang bagus di sana," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

"Kalau di luar negara, saya hanya fokus kepada latihan sahaja.

"Di sini banyak hiburan, keluarga dan kawan-kawan.

"Jika di sana, saya hanya perlu fokus terhadap latihan dan kejohanan sahaja," katanya.