Gimnas negara, Tan Ing Yueh, ingin lebih menumpukan kepada memantapkan fizikal berbanding perincian rutin menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Mei depan.

Kejohanan Asia di Tokyo, Jepun dari 2 hingga 5 Mei depan akan menjadi pelantar terakhir buat gimnas negara itu untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 dengan hanya dua gimnas teratas dalam acara all-round temasya berkenaan diberikan slot.

Ing Yueh optimis dengan perancangan untuk memantapkan fizikalnya akan membantu dalam misinya menempah slot ke Sukan Olimpik.

"Saya akan melakukan dua sesi latihan di gimnasium agar (fizikal) saya lebih kuat untuk persembahan saya yang lebih utuh," katanya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Walaupun Ing Yueh berwaspada dengan ancaman saingan daripada peserta negara seperti Korea Selatan, dia tetap optimis mampu layak.

"Saya berasa agak gemuruh tetapi masih teruja.

"Saya memang mengimpikan untuk ke Sukan Olimpik dan saya perlu berusaha keras dalam usaha layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.

Setakat ini, hanya Farah Ann Abdul Hadi yang layak ke Tokyo, sekali gus menjadi gimnas ketiga ke temasya itu selepas Au Li Yen di Sydney, Australia, pada 2000 dan Ng Shu Wai di Athens, Greece (2004).



Editor: Shaiful Shamsudin