Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, menyasarkan empat kejohanan utama untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Empat kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung pada Mac, bermula dengan aksi Terbuka Jerman 3 Mac depan.

Seterusnya adalah Kejohanan Seluruh England kemudian kunjungan ke India dan berakhir dengan Terbuka Malaysia yang bertaraf super 700.

Peng Soon-Liu Ying bercadang untuk beraksi dalam beberapa lagi kejohanan sebelum tamat kelayakan ke Sukan Olimpik tetapi ia bergantung kepada situasi wabak koronavirus.

"(Penganjuran) kejohanan semakin berkurangan, malah status beberapa kejohanan belum ada kepastian lagi.

"Jadi keempat-empat kejohanan ini amat penting buat kami," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Sri Petaling, hari ini.

Mereka kini di kedudukan ketujuh daripada lapan wakil yang akan layak ke temasya Tokyo 2020 sebagai pilihan.

Beregu kebangsaan, Goh Soon Huat -Shevon Lai, juga memiliki peluang cerah untuk mengiringi beregu profesional itu sekiranya mereka menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik kelayakan berkenaan.

"Kami hanya tumpu kepada kedudukan lapan beregu terbaik.

"Jadi saya berharap Soon Huat-Shevon dapat menempatkan diri dalam kelompok itu.

"Apapun, kami sekadar tumpu kepada diri sendiri, kami tidak terlalu memikirkan soal beregu yang lain."