Bekas pelumba berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, masih teguh dengan pendirian bahawa jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, merupakan prospek emas di sebalik sasaran awal diletakkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam Sukan Olimpik Tokyo hanyalah pingat perak.

Joo Ngan senada dengan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab, sasaran lebih rendah diletakkan bagi mengelakkan tekanan yang memuncak buat pelumba berusia 32 tahun itu.

Ketika ini, kem Malaysia masih samar-samar tentang individu yang bakal dijadikan prospek emas dalam Sukan Olimpik Tokyo kecuali Azizulhasni yang mempunyai kemampuan itu berdasarkan prestasi semasa yang menyaksikan dia menakluki ranking dunia bagi acara keirin.

"Pencapaian meraih gangsa di Rio adalah pemangkin buat Azizulhasni. Dia sudah tahu apa yang harus dilakukan dan kita tidak seharusnya bimbang dengan kemampuannya," kata Joo Ngan.

Mesyuarat penyelarasan Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam menyaksikan berbasikal adalah antara 10 sukan yang dijemput untuk membentangkan sasaran masing-masing dalam temasya itu Julai depan, namun ia dijangka akan bertukar menjelang mesyuarat jawatankuasa pemandu yang akan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Temasya di Tokyo Julai depan bakal menjadi penampilan keempat Azizulhasni di pentas Olimpik sejak membuat kemunculan ketika edisi 2008 di Beijing.

"PKBM meletakkan sasaran pingat perak buat Azizulhasni, namun saya yakin dia mampu meraih pingat emas."



Editor: Ammar Hakim