Tiga misi penting menanti jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, tahun depan dengan keutamaan kepada sasaran lebih tinggi sebaik pulang ke tanah air dengan pingat emas daripada Sukan Para Asia Indonesia.

Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019, Sukan SEA Filipina dan Sukan Para Asean 2019 bakal menjadi keutamaan buat Latif dan Ziyad untuk terus mencatat pencapaian cemerlang.

Ini kerana kejayaan dalam Sukan Para Asia Indonesia semestinya meletakkan mereka di satu tahap yang lebih tinggi untuk terus konsisten tahun depan sebelum bersedia ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mereka enggan terlalu dibuai dengan kejayaan itu tatkala tugas besar menanti dalam setiap kejohanan utama tahun depan.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih saya, saya mahu layak secara merit ke Sukan SEA tahun depan. Secara keseluruhan, saya mahu memenangi ketiga-tiga kejohanan itu nanti," kata Ziyad

Latif, yang sebelum itu mengalami kecederaan kaki kanan, tidak menafikan dia masih belum pulih dan mahu fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya.

"Ya, saya memang mengalami kecederaan, namun saya enggan fikirkan tentang kecederaan itu sebelum ini. Saya hanya mahu memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod dunia.

"Saya masih terasa sakit, namun selepas ini saya akan kembali fokus kepada proses pemulihan," katanya.