Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, menamatkan penantian 11 bulan apabila melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas meraih kedudukan podium dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ziyad gagal mempertahankan pingat emas dalam kategori F20di UAE tetapi tidak memberi laluan mudah apabila menyempurnakan enam lontaran dengan catatan terbaiknya sejauh 17.03 meter.

Walaupun gagal meraih emas, atlet berusia 29 tahun itu berpuas hati setelah berjaya melayakkan diri ke saingan di Tokyo tahun depan.

"Saya rasa untuk tahun ini, itu yang terbaik. Saya sudah sertai pelbagai saingan tetapi tidak mendapatkan catatan sehingga 17m. Insya-Allah, saya akan perbaiki lagi. Saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Mungkin ia masih boleh diperbaiki," katanya.

Untuk rekod, Ziyad yang tampil buat kali keempat di pentas Kejohanan Dunia itu meraih emas ketika edisi 2013 dan 2017 manakala gangsa pada 2015.

Seorang lagi sandaran negara, jaguh lompat jauh para, Jonathan Wong, juga cemerlang apabila turut melayakkan diri ke Tokyo susulan meraih perak bagi kategori T12.

"Tahun ini, sewaktu latihan saya memiliki keyakinan untuk mencatat 7.03m tetapi apabila dalam kejohanan, saya gagal melakukan yang terbaik. Saya mahu teruskan latihan dan mengelakkan kecederaan. Sebelum ini, saya berdepan isu kecederaan," katanya.