Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, bakal menjalani kem latihan di Jerman bagi menjamin prestasi cemerlang menjelang dalam Kejohanan Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), 7 hingga 15 November depan selain persiapan Sukan Para ASEAN Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember.

Dalam usaha memperbaiki teknik lontaran, Ziyad sekali lagi memilih Jerman sebagai kem latihan yang bakal berlangsung selama lima minggu.

Tambah pemegang rekod dunia kategori T20 itu, pendedahan pengalaman selain mengekalkan prestasi terbaik menjadi tunjang utama kepadanya untuk mencapai sasaran 2019.

Lantas, anak jati Selangor itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai mana-mana kejohanan dalam masa terdekat selain menjadikan Kejohanan Dunia sebagai tumpuan utama dengan misi layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Pihak pesaing mungkin akan mengintai catatan yang saya lakukan dan ia boleh dijadikan pembakar semangat kepada mereka.

"Namun, saya ada senjata yang hanya akan didedahkan dalam Kejohanan Para Dunia kelak," katanya mengenai pendekatannya tidak menyertai kejohanan pemanas badan.

Ziyad, yang bebas daripada sebarang kecederaan buat masa ini, turut menyasarkan untuk memadamkan rekod peribadinya, 17.29 meter.

"Sasaran utama saya adalah Kejohanan Para Dunia dengan misi memecah rekod dunia atau mengekalkan pingat emas.

"Dalam masa sama, ia digunakan sebagai persiapan menuju ke Sukan SEA yang berlangsung berselang sebulan.

"Sasaran saya adalah 17.60m. Insya-Allah saya akan cuba sedaya-upaya untuk mencapainya atau melakukan yang lebih baik daripada catatan itu," katanya.