Perenang pelapis negara, Low Zheng Yong, mencipta sensasi apabila melepasi had kelayakan kategori A Sukan Olimpik Remaja di Argentina, September depan, walaupun baru dua bulan menyertai kem latihan kebangsaan.

Dia melakukan 2:03.36 saat untuk acara 200 meter kuak kupu-kupu dalam Kejohanan Jemputan Antarbangsa Peringkat Umur 2018 untuk meraih emas dan memastikan tiket ke Argentina untuk menghadapi saingan Sukan Olimpik Remaja.

"Saya sangat gembira di atas pencapaian ini. Saya agak terkejut dengan catatan masa kerana ia adalah satu peningkatan yang banyak. Saya berharap untuk terus memperbaiki catatan saya dalam kejohanan akan datang," kata Zheng Yong.

Sementara itu, Welson Sim turut mempamerkan persembahan cemerlang apabila hampir memecahkan rekod kebangsaan miliknya (1:46.36s) di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Perenang kelahiran Sarawak itu melakukan catatan masa 1:46.96s dan ia dilihat sebagai petanda baik untuk menghadapi temasya Gold Coast 2018 bulan depan.

"Ia merupakan satu catatan yang baik walaupun tidak melalui fasa persiapan akhir kerana Sukan Komanwel Gold Coast merupakan keutamaan dan catatan ini akan meningkatkan lagi keyakinan saya," kata Welson.