Pelumba negara, Muhd Zaqhwan Zaidi, terpaksa melupakan hasrat untuk beraya bersama keluarga apabila bakal menyertai perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Perlumbaan Seluruh Jepun (AJRRC) di Litar Sugo, Sabtu ini.

Ini kali ketiga Zaqhwan terpaksa beraya di luar negara kerana komitmen terhadap kariernya sebagai pelumba motorsikal profesional.

Sebelum ini, pada 2012 dan 2016, dia melalui situasi sama apabila mempunyai tuntutan bersaing dalam saingan perlumbaan empat dan lapan jam di Litar Suzuka.

"Kalau dapat beraya mesti gembira tetapi demi kerjaya ini, saya korbankan untuk masa depan saya. Saya terpaksa beraya di Jepun.

"Apa-apa pun, saya berharap saya lebih berjaya di sana walaupun tetap teruskan perjuangan dalam musim hari raya ini," ujarnya.

Zaqhwan kini berada di kedudukan ke-19 keseluruhan dalam kategori JSB1000, namun penyertaannya dalam saingan AJRCC adalah sebagai persediaan menghadapi musim baru Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) apabila pihak penganjur, Two Wheel Motor Racing, telah memperkenalkan kategori baru, ASB1000 yang bakal menjadi perlumbaan utama kejohanan itu.

"Tidak senang juga untuk bertukar daripada 600cc kepada 1,000cc sebab 1,000cc lagi kuat.

"Jadi, kami pun memerlukan kekuatan yang lebih daripada segi fizikal. Selain itu, penetapannya juga sukar berbanding 600cc," katanya lagi.