Calon timbalan presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Zainal Othman, berjanji membawa pulang semula bekas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, jika kumpulannya berjaya mendominasi mesyuarat agung tahunan badan induk itu, Ahad ini.

Penamatan kontrak Zhuliang, Disember lalu dikatakan menjadi punca kemerosotan skuad terjun negara.

Itu pendirian Zainal yang juga presiden Persatuan Renang Negeri Sembilan selepas menyaksikan Malaysia hanya mampu meraih satu pingat gangsa sepanjang lima Siri Dunia tahun ini.

Malah, peluang untuk meraih pingat Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai depan juga tidak meyakinkan, sekali gus barisan kejurulatihan negara perlu dirombak semula.

"Saya akan berbincang dengan pihak persatuan untuk mendapatkan khidmat Zhuliang untuk melatih skuad terjun negara. Dia telah lama bersama skuad negara dan ingin kembali ke Malaysia," kata Zainal.

Ketika ini, skuad negara dikendalikan Christian Brooker, Li Riu dan Li Teng.

Perlembangaan ASUM menyaksikan individu yang mahu merebut jawatan badan induk itu hanya perlu dicalonkan Ahad ini.

Jawatan timbalan presiden ketika ini disandang Datuk Nawawi Reduan dan Oon Kee Seng.