Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, gusar apabila masih belum dimaklumkan sebarang kalendar kejohanan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tatkala Sukan Asia 2018 hanya berbaki dua bulan lagi.

Zaidatul bakal melakukan penampilan pertamanya di pentas Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan, namun kerisauannya kini tertumpu kepada kekurangan kejohanan yang bakal disertai kerana masih menunggu lampu hijau daripada KOM.

Sebelum ini, terdapat usaha untuk membawa skuad olahraga berlatih di luar negara tetapi ia tidak menjadi kenyataan susulan kos tinggi yang diperlukan, begitu juga dengan usaha membawa masuk tenaga asing seperti jurulatih Amerika Syarikat, Dwayne Miller, yang gagal mencapai kata putus.

"Jurulatih tiada tetapi saya sudah boleh mempersiapkan diri mengikut keperluan sepatutnya. Dia juga telah banyak memberi tunjuk ajar.

"Pengalaman yang ada juga mengajar saya dalam merencana apa yang perlu dilakukan apabila berdepan kejohanan," katanya.

Berbekalkan catatan terbaiknya musim ini, iaitu 11.64 saat dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Zaidatul meletakkan sasaran untuk mara hingga ke peringkat akhir.

"Kalau diikutkan, catatan masa yang telah saya lakukan tahun ini melayakkan saya untuk berentap di peringkat akhir tetapi untuk naik ke podium, sekurang-kurangnya saya harus mendapatkan 11.1s atau 11.2s.

"Catatan 11.64 saat masih belum cukup untuk mendapatkan pingat," akuinya.