Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan lampu hijau untuk menghadiri Kongres Persatuan Penulis Sukan Antarabangsa (AIPS) Asia selain menyambut baik penganjurannya oleh Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Kuala Lumpur dari 27 Februari ini.

Kongres AIPS Asia yang kali pertama bakal dianjurkan di Malaysia itu pasti menjadi sejarah buat SAM dan lebih bermakna apabila mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Perdana Menteri.

Delegasi SAM yang hadir mengadakan pertemuan di pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini diketuai oleh Naib Presiden AIPS Asia merangkap Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, mendapat persetujuan daripada Ahmad Zahid yang akan hadir ke kongres itu dan juga malam Anugerah SAM pada 2 Mac depan.

"SAM bukan sahaja menerima suntikan dana, kami juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri yang akan memberikan kerjasama untuk delegasi yang bakal hadir ke Malaysia," kata Ahmad Khawari.

Dalam masa sama, Ahmad Khawari turut mengesahkan penganjuran kongres kali ini telah pun berjaya menarik kehadiran wakil 31 negara Asia, melebihi sasaran awal yang diletakkan oleh pihak SAM.

"Selepas kami mendapatkan perwakilan 31 negara Asia bakal hadir ke Kongres AIPS Asia tahun ini, TPM telah bersetuju untuk menghadirinya."

Kongres AIPS Asia, yang akan bermula pada 27 Februari di Hotel Concorde Kuala Lumpur, dan adalah langkah yang baik dalam berkongsi minda penulis-penulis sukan di Asia.