Bekas juara boling tenpin dunia 2013, Cho Young Seon dari Korea Selatan, meraih gelaran sulung Kejohanan Masters Malaysia selepas menumpaskan wakil negara, Ahmad Aidil Abdul Halim, di Sunway Pyramid, petang tadi.

Young Seon jelas berpuas hati apabila bergelar juara masters edisi ini selepas gagal ke final pusingan "step-ladder" dalam dua penampilan berturut-turut pada 2013 dan 2014.

Dia berjaya melakukan 257 jatuhan pin, meninggalkan Aidil di tempat kedua dengan perbezaan 70 jatuhan pin.

Juara Dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail, pula meraih tempat ketiga.

Young Seon, bagaimanapun, berdepan tentangan sengit pada peringkat awal berdepan pemain berusia 22 tahun itu sebelum meneruskan aksi konsisten untuk menoktahkan kejuaraan.

"Saya sudah beraksi dalam kejohanan itu buat kali ketiga dan ia merupakan kali pertama saya ke final.

"Saya berpuas hati untuk meraih kejuaraan selepas bergelut menyesuaikan diri dengan gelanggang perlawanan," katanya.

Rafiq yang melakukan 224 jatuhan pin, tetap berpuas hati selepas memperbaiki pencapaian edisi lalu di tempat kelapan.

"Saya tetap gembira dengan prestasi saya walaupun gagal meraih kejuaraan.

"Saya tidak memperoleh rehat yang secukupnya memandangkan baru tiba daripada Kejohanan Dunia di Hong Kong, baru-baru ini," katanya.