Ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, berharap bekas juara dunia yang kini memegang jawatan jurulatih teknikal kebangsaan yang baru, Mao Ya Qi, mampu tiba sekurang-kurangnya bulan depan bagi membantu persiapan skuad negara menjelang Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Filipina 2019.

Atlet wushu negara kini fokus memancing keyakinan barisan jurulatih dalam sesi pemilihan bagi menempah slot ke Kejohanan Dunia dan Sukan SEA akhir tahun ini.

Yew Fai berharap penglibatan bekas juara dunia itu dalam barisan kejurulatihan mampu untuk membuat pilihan terbaik bagi dijadikan sandaran.

"Kini, kami masih menunggu visa. Kami telah melakukan permohonan tetapi masih menunggu maklum balas. Saya harap dia dapat hadir awal bulan depan kerana akan ada pemilihan, kemudian banyak program seperti di China atau Korea Selatan. Jadi, diharapkan dia datang awal," katanya.

Yew Fai juga berkata Ya Qi tidak asing dalam arena wushu negara kerana dia pernah memimpin skuad kebangsaan sebelum ini sehingga Malaysia melahirkan dua jaguh wushu, Tai Cheau Xuen dan Diana Bong.

"Jurulatih ini agak moden dan mereka dapat rapat dengan atlet. Boleh berbincang. Saya rasa mereka sama seperti saya."

Skuad negara dilanda kemelut apabila kebanyakan atlet negara yang digelar juara dunia tidak dapat bertanding dalam temasya dwitahunan di Filipina itu November depan ekoran tuan rumah tidak menyenaraikan acara mereka.