Berada dalam kedudukan dunia nyata memberi semangat baru kepada atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie, untuk meraih pingat emas di pentas Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Yee Khie mempamerkan aksi hebat ketika beraksi dalam Kejohanan Powerlifting Dunia di Mexico City, Disember lalu, sekali gus membolehkannya kini menduduki tangga kelapan dunia.

Selepas hanya berpuas hati dengan pingat gangsa di Glasgow empat tahun lalu, dia teruja apabila masih diberi peluang untuk tersenarai buat kali kedua bagi mencapai misi merampas emas.

Dia juga bertekad menggunakan kelebihan yang ada apabila pencabar utama dari Nigeria, Abdulazeez Ibrahim, yang merupakan pemenang emas di Glasgow, sedang bergelut dengan kecederaan.

"Kali ini saya menyasarkan emas kerana sekarang mempunyai mata yang baik. Segala-galanya berdasarkan prestasi dan mungkin saya boleh menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik dalam carta dunia," katanya.

Setakat ini, tiada sebarang kejohanan terdekat yang akan disertai Yee Khie selain meletakkan fokus sepenuhnya dalam sesi latihan kerana jurulatihnya, Jamil Adam, amat menitikberatkan aspek kecederaan yang perlu dijauhi dalam masa terdekat.

"Tumpuan kami sedikit berubah apabila memasuki tahun baru, jadi kami perlukan masa untuk ke tahap terbaik," tambahnya.