Atlet terjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee, mahukan proses pendengaran kesnya selepas didapati positif doping ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim, mengesahkan perkara itu sambil mendedahkan proses pendengaran bakal melibatkan jawatankuasa siasatan yang akan ditubuhkan oleh exco ASUM.

Dalam sesi pendengaran kes, Yan Yee akan diberi peluang bagi menjelaskan situasi sebenar berhubung bahan terlarang jenis sibutramine yang terdapat dalam badannya.

“Pihak ASUM akan menjalankan siasatan dan proses pendengaran yang melibatkan jawatankuasa siasatan yang akan ditubuhkan oleh exco ASUM.

“Hasil daripada sesi tersebut, pihak jawatankuasa akan mengemukakan cadangan mengenai hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh penerjun tersebut,” kata Shahidan.

Hasil daripada sesi pendengaran tersebut, ASUM juga akan membuat rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bagi membuat pertimbangan untuk tidak membatalkan pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama yang dimenanginya kerana ujian doping yang didapati positif itu adalah hasil daripada ujian yang dibuat selepas acara individu itu.

“Untuk 3m papan anjal seirama, Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri tidak diuji. Jadi, disebabkan ujian itu secara individu, kami merayu agar keputusan itu tidak ditarik kerana dia berpasangan dengan individu lain dan keputusan membatalkan emas tersebut akan mewujudkan situasi tidak adil,” tambahnya.