Perbincangan ke mana hala tuju atlet para negara selepas persaraan melewati peluang yang terhad, namun kesedaran daripada atlet juga perlu bermula awal bagi memudahkan perancangan pihak Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Hakikatnya, kesinambungan karier bekas atlet bukan sepenuhnya tanggungjawab YAKEB, namun terdapat usaha yang disediakan badan kebajikan itu, yang sedikit-sebanyak mampu membantu atlet yang berhadapan dilema pada penghujung karier mereka.

Pelaksanaan kursus kejurulatihan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), yang disertai bekas atlet para dikenali dengan jolokan Ella Sogo, Nurul Shakina, adalah antara usaha untuk membuka ruang pekerjaan melibatkan bidang kejurulatihan.

Bidang industri di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) juga menawarkan peluang yang sama, namun penyertaan daripada atlet para tidak begitu memberangsangkan.

Ternyata bantuan yang lebih banyak serta peluang dibuka oleh mana-mana agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan diperlukan bagi membantu bekas atlet negara.

"Majlis Sukan Negara (MSN) menjaga kebajikan atlet-atlet yang masih berada di dalam program bagi membuat persediaan menghadapi kejohanan," kata Pengurus Besar YAKEB, Zuhaily Abdul Manaf.

"Tetapi mereka juga sedang membuat program yang berbentuk intergrasi melibatkan YAKEB untuk memberikan tumpuan kepada hala tuju atlet selepas mereka bersara."

Persoalan turut timbu, jika ada masalah kesihatan kronik melibatkan bekas atlet negara. Sekiranya atlet itu masih di bawah program MSN atau ISN, sudah pasti kebajikan mereka sekurang-kurangnya terjaga.

Namun, bagaimana pula jika kontrak program mereka terpaksa ditamatkan ekoran masalah kesihatan?

"Atlet-atlet yang di bawah program ini telah berkhidmat untuk negara dalam memberikan kejayaan buat Malaysia di peringkat antarabangsa. Kami sedang berusaha untuk memberikan bantuan kepada mereka setelah mereka bersara," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Hanya pengumuman persaraan mampu membantu bekas atlet negara memandangkan syarat utama bantuan YAKEB adalah melibatkan bekas atlet yang pernah mewakili negara sekurang-kurangnya di peringkat Para ASEAN mahupun Sukan SEA.

"MSN dan ISN bertanggungjawab bagi menyediakan bantuan yang sewajarnya kepada atlet-atlet para ini," tambah Zuhaily.