Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, menyasarkan kutipan sebanyak RM1.2 juta setahun menerusi Tabung Yakeb Untuk Bekas Atlet yang akan diletakkan di 500 restoran di sekitar Lembah Klang.

Tabung Yakeb Untuk Bekas Atlet itu merupakan sebahagian daripada usaha Yakeb bagi mencapai 13 sasaran dalam Skim Bantuan Khas Yakeb.

Usaha itu dijalankan dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang memiliki lebih daripada 4,000 ahli yang terdiri daripada pemilik restoran.

Hasil sumbangan itu akan disalurkan secara terus daripada pemilik restoran yang terlibat ke dalam akaun Yakeb.

"Jika kami mendapat sokongan padu daripada orang ramai, kami akan melakukan penyerahan dana setiap bulan.

"Pelancaran sepenuhnya akan dijalankan selepas kami mendapatkan sokongan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Dalam majlis pra-pelancaran di sebuah restoran di ibu negara hari ini, Yakeb turut menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada tiga wakil ahli Yakeb yang pernah mewakili negara, iaitu bekas pemain ragbi, Allahyarham Ahmad Tajnie Mohd Ali, Allahyarham Mokhtar Yusof (berbasikal) dan mendiang Daphne Boudville (hoki).

"Saya dapat rasakan setiap tabung yang diletakkan mampu mengumpulkan sekurang-kurangnya RM300 setiap bulan.

"Jika diletakkan sebanyak empat tabung di setiap restoran sekalipun, ia tidak menjadi masalah kerana pasti akan ada orang yang akan menderma," kata Presiden Presma, Ayoob Khan Yakub.

"Bekas-bekas atlet perlu menguar-uarkan mengenai tabung ini sepaya orang ramai akan tahu tentang usaha yang dilakukan itu," tambah bekas kapten skuad hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.