Yakeb lancar pelan inisiatif tambah kantung 

Oleh Staff Writer 16 September 2019 28
Yakeb lancar pelan inisiatif tambah kantung 
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) meneruskan inisiatif mencari dana sendiri bagi menampung keperluan bekas atlet negara walaupun menerima sokongan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, daripada segi pencarian kewangan.

Februari lalu, kerajaan bersetuju memberikan suntikan dana RM3 juta kepada yayasan berkenaan, namun mereka perlu mencari dana tambahan sendiri berikutan peningkatan ahli pada setiap tahun.

Demi terus menjaga kebajikan bekas atlet negara, Yakeb melaksanakan beberapa inisiatif tersendiri bagi mengumpul dana, antaranya penjualan jongkong emas sempena Hari Sukan Negara bulan depan, penganjuran kejohanan golf amal bersama Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (November) selain perlumbaan larian (Disember).

"Kami akan bawa atlet untuk tujuan (membantu) penjualan jongkong emas kepada orang awam dan badan korporat. 

"Setakat ini, kami sudah ada tiga atlet (bagi tujuan penjualan itu) sempena Hari Sukan Negara, 16 Oktober depan," kata pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Tambahnya, usaha pertemuan yang lalu dengan Perdana Menteri adalah kerana ingin usaha yang lebih tekal berikutan bantuan kewangan daripada kerajaan yang tidak menentu.

"Setiap tahun Yakeb menerima bantuan daripada agensi kerajaan tetapi ada juga tahun-tahun yang kami tidak dapat. 

"Kami ingin ia berterusan bagi menyenangkan urusan Yakeb dalam membantu atlet kebangsaan," katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir meluahkan hasrat untuk membantu Yakeb dalam mencari dana dalam pertemuan di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen