Caroline Wozniacki berasakan dia tidak akan hilang apa-apa dalam Terbuka Australia selepas mara ke suku akhir, hari ini.

Wakil Denmark itu yang juga pemain pilihan kedua kejohanan, mara ke suku akhir di Melbourne buat kali pertama sejak 2012 dengan menewaskan Magdalena Rybarikova 6-3, 6-0.

Wozniacki hampir tersingkir pada pusingan kedua dalam kejohanan grand slam pertama untuk tahun ini selepas berjaya menyelamatkan dua mata perlawanan ketika berdepan Jana Fett.

Selepas berjaya memastikan dirinya ke suku akhir, pemain berusia 27 tahun itu berkata pengalamannya ketika bertemu Fett membenarkan dia bermain dengan bebas di atas gelanggang.

"Saya berasa sangat baik. Saya hampir terkeluar daripada kejohanan ini, saya sangat gembira dan tidak akan kehilangan apa-apa selepas ini," kata Wozniacki.

"Saya bermain dengan baik selepas ketinggalan 5-1 (berdepan Fett). Selepas itu, saya cuba mempamerkan aksi cemerlang," ujarnya.

Carla Suarez Navarro menjadi halangan seterusnya buat Wozniacki, yang berwaspada dengan ancaman lawan selepas pertemuan terakhir di antara mereka memihak kepada wakil Sepanyol itu.

"Pertemuan saya dengan Navarro selalunya sengit, kami sering beraksi hingga set penentuan.

"Saya menjangkakan cabaran yang sukar," katanya lagi.