Tiger Woods menyudahkan saingan dengan meyakinkan sambil Rickie Fowler mencipta rekod lapangan dengan catatan terendah dalam kariernya untuk memenangi Cabaran Dunia Hero dengan kelebihan empat pukulan.

Woods, yang bergelut dalam pusingan ketiga kelmarin sekalipun mendahului pada satu ketika dalam pusingan kedua dalam kemunculan semula kompetitifnya selepas 10 bulan, kembali menambat perhatian di Bahamas semalam.

Juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu mewarnai sembilan lubang pertama di Kelab Golf Albany dengan catatan 31 buat kali kedua minggu lalu sebelum dikerah berpuas hati dengan empat bawah par 68 untuk berkongsi kedudukan kesembilan dengan jumlah keseluruhan lapan bawah par.

Woods meledakkan beberapa pukulan jauh – salah satunya memberikan peluang catatan eagle – di samping lebih yakin menangani permukaan green.

Pemain berusia 41 tahun itu tidak cuba untuk menahan dirinya tatkala dia menyempurnakan kepulangannya ke saingan kompetitif tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda kesakitan selepas menjalani pembedahan belakang buat kali keempat April lalu.

Woods, selaku hos kejohanan itu, melakukan tiga birdie pada sembilan lubang pertama dan terdengar sorakan bergema ketika dia membenam eagle pada lubang 7 par empat sepanjang 350 ela gara-gara satu pukulan tee jauh yang hanya sedikit melepasi pin.

Dia membenam tiga lagi birdie selepas melakukan double bogey pada lubang 10 tetapi keciciran satu lagi pukulan di lubang 17 gara-gara pukulan tee yang tersasar dan seterusnya dikecewakan tiga putt bogey pada lubang terakhir.

Charley Hoffman memulakan pusingan akhir itu dengan mendahului lima pukulan tetapi Fowler melakar rekod kejohanan dengan himpunan 11 bawah par 61 untuk menafikan rakan senegaranya itu.

Fowler jelas berada dalam kelasnya sendiri dengan catatan birdie pada tujuh lubang pertama dan mendahului dua pukulan dengan catatan 28 untuk sembilan lubang pertama.

Pemain nombor 9 dunia itu menambah tiga lagi birdie pada sembilan lubang kedua ketika Hoffman hanya mampu menyamai par 72.

Tommy Fleetwood dan Jordan Spieth berkongsi tempat ketiga dengan jumlah 12 bawah par.