Pensyarah kanan Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Wirdati Mohd Radzi, hari ini dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baru, umum Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lalu selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Syed Saddiq berkata Dr Wirdati dipilih mengisi jawatan tersebut berdasarkan pengalamannya dalam bidang undang-undang sukan selain bergiat aktif dalam beberapa badan sukan.

“Kami sudah muktamadkan calon dan saya dah tandatangan suratnya. Sekarang kami tengah tunggu pelepasan daripada UM dan pengumuman rasmi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau memang ada latar belakang sukan yang sangat kuat, bukan sahaja dalam persatuan sukan, malah dalam undang-undang sukan.

“Harapan saya, Dr Wirdati akan bawa pembaharuan, reformasi dalam Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan meneruskan legasi yang begitu baik ditinggalkan Zaiton

"Zaiton dikenali sebagai wanita besi PPS, kami berharap Dr Wirdati akan membawa penekanan dan semangat yang sama untuk pembaharuan yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baharu peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Syed Saddiq turut berterima kasih kepada pasukan pemilihan yang diketuai Ketua Setiausaha KBS, Dr Waitchalla R R V Suppiah, yang membantu dalam menyenarai pendek, temu duga dan memilih calon yang sesuai.

Sebagai rekod, Dr Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta bekas bendahari (2014-2016) dan juruaudit (2016-2018) Persatuan Pengurusan Sukan Asia.

Beliau turut mempunyai kepakaran dalam Dasar Pendidikan, Pengurusan dan Pentadbiran (Undang-undang Pendidikan, Dasar Pendidikan, Tadbir Dalam Pendidikan, Pengurusan Sukan dalam Pendidikan); Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (Pengurusan Sukan, Dasar Sukan, Penyelidikan Perbandingan dalam Sukan); dan Tadbir Urus (Undang-undang Sukan dan Tadbir Urus, Pengurusan Risiko dalam Sukan).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang ditangguhkan, Sabtu lalu, Syed Saddiq menyerahkannya kepada PPS untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya rasa pendirian saya dalam hal ini, biarlah PPS yang membuat keputusan, saya rasa akan ada sesi rundingan akan datang.

"Cuma saya harap ia diselesaikan dengan cepat, kita pun nak pastikan persediaan (atlet) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dapat dilakukan secepat mungkin.

"Saya selalu tekankan bab ini, kita harus ikut peraturan undang-undang, itu yang penting,” katanya.


-- BERNAMA