Kevin Anderson masih bertenaga untuk merangkul grand slam pertama selepas mengharungi 11 jam di atas gelanggang dalam dua perlawanan terakhirnya.

Selepas bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan juara lapan kali, Roger Federer, dalam aksi suku akhir yang memakan masa empat jam, wakil Afrika Selatan itu telah meluangkan masa paling lama di atas gelanggang semalam.

Pemain pilihan kelapan itu memerlukan enam jam dan 36 minit -- aksi kedua paling lama dalam sejarah Wimbledon –- untuk mengatasi John Isner 7-6 (8-6), 6-7 (5-7), 6-7 (9-11), 6-4, 26-24 dan menempah slot final keduanya dalam tahun ini.

Anderson, yang ditewaskan oleh Rafael Nadal dalam Terbuka AS 2017, yakin mampu mengatasi wakil Sepanyol itu kali ini.

"Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Bagaimanapun, saya telah memiliki pengalaman beraksi dengan dua pemain terbaik sepanjang zaman," katanya.

"Saya perlu pulih segera sebelum tampil dalam aksi final ini.

"Saya hadir ke dalam kejohanan ini untuk mengatasi pencapaian terbaik saya dan meletakkan diri saya dalam kedudukan yang baik.

"Dalam Terbuka AS, saya beraksi dalam final dan berharap untuk mengulanginya kali ini."