Atlet wushu negara, Wong Weng Son, menganggap latihan intensif selama 18 hari di Hangzhou, China sudah memadai untuk dijadikan persiapan akhir bagi menghadapi Sukan Asia 2018, bulan depan.

Aksi di Indonesia bakal menjadi penampilan pertama juara dunia wushu itu dalam Sukan Asia.

Selain memastikan keadaan fizikalnya bebas daripada sebarang kecederaan, dia juga giat memperkemaskan rutin persembahannya.

Tempoh 18 hari dalam latihan pusat di Hangzhou bulan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Weng Son serta tujuh lagi rakan sepasukan selain mendapatkan sentuhan akhir daripada pakar wushu dari China.

"Tempoh 18 hari memang cukup. Kami dapat pulang awal dan di Malaysia, banyak yang perlu kami sediakan. Tambahan aspek seperti fisioterapi dan urut yang dimiliki di Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah memadai," katanya.

Di Indonesia nanti, Weng Son bakal beraksi dalam acara chang quan bersama Yap Wai Kin dan walaupun ia bukan acara kegemarannya berbanding jianshu, disiplin yang beraksi bersama alatan lembing sehingga menobatkannya sebagai juara dunia 2017, chan quan disiplin tanpa alatan menyaksikan dia pernah mendapat perak dalam Kejohanan Dunia pada 2015.

"Usaha tambahan masih dilakukan seperti menjaga kesihatan serta mendapatkan makanan yang baik. Ia perlu dijaga, terutama untuk Sukan Asia 2018," tambahnya.