Perenang negara, Welson Sim Wee Sheng, terkejut apabila hanya tiga wakil acara itu akan bersaing dalam dua temasya besar pada tahun depan, namun ia menjadi pembakar semangat untuknya menamatkan kemarau 16 tahun tanpa sebarang pingat.

Welson mengetuai senarai tiga perenang negara yang akan beraksi di pentas Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan bersama dua lagi perenang, iaitu Erika Kong dan Phi Jinq En.

Walaupun jumlah itu kecil, namun tidak mustahil mereka mampu menghadiahkan pingat, terutama menerusi Welson yang mengatasi catatan pingat gangsa acara 200 & 400 meter gaya bebas Sukan Asia Incheon ketika merangkul emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Bagaimanapun, tumpuan ketika ini adalah untuk menghadapi Sukan Komanwel, April depan, dengan peluang terbaik dalam acara 400 dan 1,500m gaya bebas.

“Sudah tentu ia akan menjadi lebih sukar kerana Program Podium menuntut pingat bagi saingan Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Bagaimanapun, ia akan menjadikan saya lebih gigih berlatih untuk meningkatkan prestasi sendiri,” katanya.

Perenang terakhir negara yang meraih pingat dalam Sukan Komanwel adalah Alex Lim Keng Liat menerusi satu perak dan satu gangsa di Manchester, England pada tahun 2002.

Skuad negara akan menghadapi kejohanan Piala Presiden di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, minggu depan untuk menutup musim 2017.

“Ia kejohanan yang bagus, membolehkan perenang-perenang muda untuk turut serta.

“Saya akan cuba untuk memecahkan rekod sendiri bagi acara 100m gaya bebas,” katanya lagi.