Perenang negara, Welson Sim, berdepan tugas getir dalam Kejohanan Renang Terbuka Singapura bermula Rabu ini sebagai peluang terakhir untuk melepasi had kelayakan ke Kejohanan Dunia 2019 secara merit bagi membuktikan perguruan di Australia tidak sia-sia.

Perguruannya selama lima bulan di Australia akan diuji di Singapura.

Welson perlu melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia 2019 secara merit, prestasi yang belum pernah dicapainya sebelum ini.

Perenang kelahiran Sarawak itu sudah melepasi had kelayakan kategori B dalam empat acara dengan peluang terbaik untuk layak secara merit menerusi 200 meter gaya bebas apabila hanya dibezakan 0.08 saat.

"Saya akan mempelajari daripada kesilapan sebelum ini. Latihan di Australia akan digunakan sebaik mungkin sebelum dijelmakan dalam kejohanan terdekat nanti," katanya.

Catatan terbaik Welson dalam 200m gaya bebas, 1 minit 47.48 saat, yang juga rekod kebangsaan dilakukan dalamTerbuka Malaysia, April lalu.

Dia turut berpeluang dalam 100, 400 dan 800m gaya bebas.

"Kami akan berusaha untuk melayakkan beberapa perenang negara ke Kejohanan Dunia," kata ketua jurulatih negara, Chris Martin.