Atlet taekwondo negara, Chew Wei Yan, mengambil keputusan drastik untuk bersara kerana acara poomsae tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun baru menang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018.

Wei Yan baru tiga tahun mewakili negara tetapi masih mahu bersara.

Sepanjang tempoh berkenaan, atlet kelahiran Klang, Selangor itu mengecap pelbagai kejayaan dan kemuncaknya, gangsa Kejohanan Poomsae Dunia di Taiwan, Ahad lalu.

Namun, Wei Yan kekal dengan pendirian meninggalkan skuad kebangsaan kerana berasakan dia sudah mencapai tahap tertinggi sebagai atlet taekwondo negara.

"Tahun depan saya akan berusia 27 tahun. Dalam acara poomsae, ramai lagi saingan dalam atlet muda dan badan saya tidak lagi dapat memberikan persembahan terbaik," katanya.

"Saya merancang untuk kembali ke kelab dan melatih atlet-atlet muda dalam acara ini."

Wei Yan tewas kepada wakil tuan rumah dalam separuh akhir dengan perbezaan 0.05 mata untuk menang gangsa bersama atlet Thailand.

Emas milik atlet Korea Selatan sementara Taiwan, perak.

Skuad negara masih mempunyai tugasan terakhir tahun ini, iaitu Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Myanmar bulan depan, namun tidak membabitkan Wei Yan.