Pemain skuasy negara, Low Wee Wern, menutup minggu cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun, Satomi Watanabe, untuk menjuarai Kejohanan Sukasy Terbuka Malaysia 2018, hari ini.

Aksi final Terbuka Malaysia merupakan siri Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) sulung buat Wee Wern yang sebelum ini berehat selama 20 bulan akibat kecederaan lutut.

Dia berdepan Watanabe yang diletakkan sebagai pilihan keempat dan lebih menarik, kedua-dua pemain ini mempunyai jurulatih yang sama, Aron Soyza.

Set pertama menyaksikan pertarungan sengit di antara Wee Wern dan Watanabe, namun pukulan kilas yang lebih baik menyaksikan wakil negara itu meperolehi kemenangan 11-8.

Watanabe meningkatkan tempo permainan dalam set berikutnya dengan rali yang lebih panjang tetapi beberapa kesilapan mudah dimanfaatkan oleh Wee Wern untuk meraih kemenangan 11-7.

Memasuki set ketiga, keyakinan Wee Wern terus meningkat di sebalik kekecewaan yang terpancar di wajah Watanabe susulan beberapa pukulan yang tidak menjadi.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Wee Wern bagi menutup permainan dengan keputusan 11-4, sekali gus muncul pemain tempatan kedua untuk menjuarai Terbuka Malaysia selepas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Ini juga gelaran Jelajah PSA pertama buat Wee Wern sejak Terbuka China pada 2014.

Selain membawa pulang trofi yang disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Wee Wern turut menerima wang tunai RM2,400.

"Saya tidak mengambil mudah kejohanan ini. Saya mengharungi pertarungan getir dalam kejohanan ini, saya berdepan beberapa perlawanan sengit.

"Saya sedar akan menghadapi perlawanan yang sukar, Watanabe mengerah saya di segenap gelanggang. Dia tidak mudah berputus asa sehingga akhir perlawanan.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati dapat mengekalkan perancangan dan ia menjadi buat saya minggu ini.

"Saya mengubah beberapa pendekatan dan gembira melihat ia berhasil," kata Wee Wern.