Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha masih hangat, khususnya buat warga sukan tempatan, dengan Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan program korban untuk turut sama-sama mendalami pengertian sebenar di sebalik ibadah berkenaan.

Aktiviti itu bukan sahaja disertai warga kerja MSN, malah turut diserikan dengan kehadiran atlet dan jurulatih kebangsaan.

Antaranya, atlet olahraga para, Abdul Latif Romly dan Saifuddin Ishak, jurulatih silat, Mohd Faizul Nasir, dan juga pembantu jurulatih skuad hoki wanita negara, Lailin Abu Hassan.

Tiga ekor lembu dan sembilan ekor kambing disembelih di perkarangan Vista MSN, Bukit Jalil hari ini.

Daging korban itu akan diagihkan ke rumah-rumah asnaf, maahad tahfiz dan anak-anak yatim sekitar kawasan Sri Petaling dan Puchong.

"Semua pegawai, jurulatih dan atlet mula berkumpul semula selepas bercuti beberapa hari lalu memandangkan ini hari terakhir Tasyrik untuk melakukan ibadah korban," kata Timbalan Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Abdul Latif turut meluangkan masa dan berkata: "Ini kali pertama saya menjalani ibadah korban di Kuala Lumpur kerana kebiasaannya, saya melaksanakannya di kampung."

Lailin pula berharap acara seperti itu akan diadakan setiap tahun.

"Ini satu langkah yang baik bagi kami untuk mendekati-Nya di samping membantu golongan miskin."