Ketua jurulatih skuad silat negara, Nasri Nasir, menyifatkan siri perlawanan ujian terakhir di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam selama dua minggu sebagai peluang terakhir untuk menguji ketahanan diri yang sebenar.

Selain kem latihan di Vietnam, skuad silat negara turut didedahkan dengan beberapa aksi ujian bersama pesilat di sana, sekali gus menjadi program luar negara yang terakhir mereka sebelum ke Sukan Asia Indonesia.

Bagi Nasri, program yang dijalankan itu lebih kepada aspek penilaian terhadap ketahanan fizikal tatkala mereka akan ke Bukit Fraser pada 1 Ogos ini selama dua minggu bagi memantapkan ketahanan mental.

"Selain memberi penekanan dalam aspek teknikal, kami juga telah merancang satu program pertarungan bersama barisan pesilat dari Vietnam.

"Bagaimanapun, ia bukan satu kejohanan tetapi lebih kepada untuk menguji tahap kemampuan atlet negara," katanya.

Setakat ini, kesemua 16 pesilat negara bebas daripada kecederaan, termasuk Siti Rahmah Mohd Nasir yang mengalami kecederaan patah lengan kiri, tahun lalu.

Walaupun kejohanan pertama yang disertainya adalah Terbuka Belgium pada Mei lalu, Nasri tidak menolak sasaran pingat emas Sukan Asia 2018 tetap disandarkan kepada Rahmah.

"Sudah tentu sasaran itu tetap diletakkan kepada atlet seperti Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah bersama-sama barisan atlet silat yang lain."