Skuad karate-do negara menerima tamparan apabila jurulatih, Andris Vasiljevs, tidak dibawa menyertai Kejohanan Dunia 2018 di Madrid, Sepanyol, sekali gus mengukuhkan spekulasi kontraknya akan ditamatkan.

Vasiljevs masih tidak tersenarai ketika skuad negara akan berangkat ke Madrid, awal pagi Sabtu ini.

Situasi itu mengukuhkan perkhabaran Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) sedang mencari calon jurulatih baru kerana Kejohanan Dunia adalah ujian penting skuad negara tahun ini.

Kejohanan itu menawarkan mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Buat masa ini, saya tidak pasti akan bersama pasukan ke Madrid," katanya.

Ironinya, penolong jurulatih, S. Mahendran, tersenarai ke Madrid.

Skuad kumite akan dibarisi tiga atlet yang diketuai R. Sharmendran.

"Saya akan berusaha menggunakan pengalaman yang diraih bagi menghadapi kejohanan ini," kata Sharmendran.

"Kejohanan Dunia agak membimbangkan saya tetapi kami perlu bersetuju dengan keputusan MAKAF dan Majlis Sukan Negara (MSN)," kata atlet karate-do negara, Prem Kumar.