Kontinjen Malaysia menamatkan kemarau pingat dalam Sukan Universiti Dunia Ke-30 (Universiade) dengan memenangi pingat gangsa dalam acara taekwondo di Napoli, Itali, hari ini.

Kuartet negara yang terdiri daripada Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, Mohd Syafiq Zuber, Rozaimi Rozali dan Hamdanwahid Rinaldi, mempamerkan aksi memberangsangkan dalam pusingan awal sebelum tumpas 10-36 mata kepada Iran dalam separuh akhir.

Iran meraih emas selepas mengetepikan Mesir 33-6 dalam final, menurut laman sesawang rasmi Universiade 2019; https://www.universiade2019napoli.it/

Terdahulu, Malaysia menumpaskan Mexico 24-20 dalam pusingan pertama, Poland (34-14) dalam pusingan kedua, disusuli Amerika Syarikat 35-13 dalam saingan suku akhir.

Kontinjen Malaysia diketuai Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani terdiri daripada 35 atlet 22 pegawai, mengambil bahagian dalam tujuh acara, iaitu gimnastik artistik, gimnastik berirama, memanah, menembak, olahraga, renang dan taekwondo.

-- BERNAMA