UiTM, PSM capai kata sepakat martabatkan sukan negara

Oleh Staff Writer 20 Februari 2018 229
UiTM, PSM capai kata sepakat martabatkan sukan negara
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai satu persefahaman yang berupaya menjulang industri sukan negara.

Kerjasama unik itu akan diuji keberkesanannya untuk tempoh tiga tahun dan ia melibatkan beberapa aspek serta kepakaran warga UiTM terutama golongan mahasiswa.

Perjanjian itu bermakna mahasiswa UiTM daripada pelbagai fakulti berbeza berpeluang untuk memanjangkan kerjaya ke platform yang disediakan oleh pihak PSM.

"Pertama, perjanjian ini melibatkan penyelidikan, yang kedua adalah khidmat nasihat dan yang ketiga mahu memberikan kesempatan kepada mahasiswa UiTM untuk menjalani latihan praktikal di stadium serta terlibat sebagai sukarelawan," kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said. 

PSM melihat kualiti yang dimiliki institusi itu dalam beberapa bidang, khususnya sukan, berpeluang memainkan peranan dalam meningkatkan prestasi atlet, satu hari nanti.

"Trek yang dimiliki stadium di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan pihak pelajar boleh menggunakan kajian, mungkin melihat teknologi kasut serta pakaian yang merangkumi aspek sains sukan.

"Sains sukan bukan sekadar membina atlet yang berprestasi tinggi tetapi termasuk segala bahagian dalam industri sukan dalam membantu ekonomi negara," ujar Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen