Dana White mempunyai alasan tersendiri susulan keengganannya memakaikan tali pinggang Kejuaraan Lightweight kepada Khabib Nurmagomedov yang memaksa Conor McGregor untuk menyerah kalah selain menyebabkan pertarungan UFC 229 itu bertukar huru-hara dengan mencetuskan pergaduhan di luar gelanggang.

Nurmagomedov berjaya mengumpan bekas juara, McGregor, untuk bertarung dalam kancah UFC buat kali pertama sejak November 2016 sebelum membuatkan lawannya itu menyerah kalah dalam pusingan keempat bagi melebarkan rekod kemenangan 27-0 di Las Vegas, sebentar tadi.

Begitupun, peninju dari Russia itu tanpa sempat meraikan kejayaannya, memanjat keluar gelanggang lalu melancarkan serangan ke atas Dillon Danis -- salah seorang kakitangan pasukan McGregor.

Ketika insiden pergaduhan tercetus di luar gelanggang, dua individu -- dilaporkan penonton yang datang untuk menyokong Nurmagomedov -- masuk ke dalam gelanggang dan menyerang atlet dari Republik Ireland tersebut.

Kekecohan itu akhirnya dileraikan dan Nurmagomedov kembali ke gelanggang, namun McGregor sudah pun diarak keluar dari gelanggang pertarungan.

Mengenai tali pinggang kejuaraan seperti yang dituntut Nurmagomedov, Presiden UFC, White, menjelaskan kepadanya bahawa hadirin pasti akan mula membaling sesuatu ke dalam gelanggang sekiranya hajat itu diteruskan.

Nurmagomedov, bagaimanapun, tidak terlepas daripada dilontar objek oleh penyokong ketika diiring keluar menuju ke belakang pentas sebaik keputusan pertarungan diumumkan.