Atlet boling tenpin negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, menganggap dia lebih bersedia dalam penampilan keduanya di pentas Jelajah Persatuan Pemain Bowling Profesional (PBA) yang akan bermula 24 Ogos ini.

Dia yakin kini berada di tahap terbaik selepas merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Bowling Kebangsaan, awal bulan ini.

Juara dunia acara beregu lelaki itu menyasarkan keputusan lebih positif musim ini berbanding tahun lalu dan sekurang-kurangnya mahu menamatkan saingan dalam kedudukan 10 terbaik selepas mengeluarkan pembiayaan sendiri untuk beraksi di Amerika Syarikat.

"Saya kini sedang perbaiki teknik dan ketepatan. Saya berbincang dengan jurulatih dan sekurang-kurangnya kelompok 10 terbaik menjadi sasaran," katanya.

Bagaimanapun, atlet berusia 20 tahun itu tidak menafikan cabaran kini lebih sukar buatnya tetapi menganggap ia adalah pendedahan terbaik dalam membantunya meningkatkan prestasi.

"Tahun lalu, saya berada dalam kelompok 20 terbaik. Jadi, berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya akan cuba yang terbaik."