Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, hanya mampu berdoa agar tragedi 2011 tidak berulang dan kembali menimpa dirinya hari ini.

Ini berikutan pelumba berusia 31 tahun itu terlibat dalam kemalangan ketika saingan acara keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Velodrom Anna Meares, Brisbane, Australia.

The Pocket Rocketman dalam posting terkini di Instagram @azizulhasniawang menceritakan kemalangan yang berpunca daripada 'pancungan' yang dibuat oleh pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata, sebaik sahaja loceng dibunyikan yang mengakibatkan dia dan pelumba Poland, Krzysztov Maksel, terhimpit sebelum terjatuh bersama pelumba lain.

"Saya terseret jauh, mata dipejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panas, pedih dan sakit, situasi amat huru-hara, terdengar juga jeritan daripada pelumba lain.

"Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama Allah dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada tahun 2011 lalu. Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil kelajuan sekurang-kurangnya 70km/j.

"Saya dah macam ayam kena sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata tetapi terdengar suara jurulatih, John Beasley, dia suruh saya baring, ‘relax’ dan cuba bernafas," katanya.

Difahamkan ketika menulis di Instagram itu, Azizulhasni masih berada di Hospital Princess Alexandra dan baharu selesai menjalani ujian x-ray dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

"Sekarang menunggu berita dari doktor dan pasukan perubatan di bilik kecemasan Hospital Princess Alexandra," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan pelumba Jepun yang dilihat seolah-olah berniat kurang baik apabila melakukan 'pancungan', pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata sebagai pelumba profesional, dia melihat perkara tersebut secara positif dan lumrah dalam perlumbaan keirin.

"Inilah keindahan sukan ini, ada kala anda menang, ada kala anda baham tanoh (jatuh). Saya dimaklumkan pelumba Jepun itu disingkir kerana salah beliau. Malangnya, keputusan itu tidak menghilangkan sakit dan luka-luka di badan saya yang sasa ini," katanya.

Dalam kesakitan, bapa kepada dua cahaya mata itu cuba 'berlakon' untuk menghilangkan rasa gusar isteri dan dua anak perempuannya yang datang dari Melbourne untuk menyaksikan perlumbaannya kali ini.

"Saya melambai ke arah isteri dan anak-anak sambil menahan kesakitan. Nampak kerisauan di wajah mereka. Sedih dan rasa bersalah pula, mereka terbang dari Melbourne untuk melihat dan menyokong saya berlumba, sekurang-kurangnya saya naik podium, tidak pun masuk final pun dah berbaloi untuk mereka. Tapi malang sungguh tidak berbau, saya gugur macam nangka busuk, busuk kohong (busuk betul).

"Tapi sekurang-kurangnya anak-anak saya nampak macam mana sukarnya abi mereka mencari rezeki sesuap nasi. Sekurang-kurangnya mereka sedar abi mempertaruhkan nyawanya di atas balapan. Dan busuk-busuk mereka tahu abi mereka ini perwira bangsa, agama dan negara," katanya.

Maklumat terkini daripada Azizulhasni, dia masih menunggu maklum balas daripada doktor berhubung keadaan dirinya dan berharap tidak ada kecederaan serius.

Dia turut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak dapat meneruskan kecemerlangan yang diraih ketika perlumbaan di New Zealand minggu lalu yang menyaksikan dia muncul juara acara keirin.

"Saya ingin semua tahu yang saya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan raga saya demi negara tercinta dan saya berharap anda juga sama seperti saya. Ini hanya pengorbanan kecil daripada saya dan bayangkan jika setiap dari kita sama-sama melakukan pengorbanan besar.

"Oleh itu, saya menyeru kepada anda semua usahlah kita leka dan marilah sama-sama kita memajukan negara tercinta," katanya.

-- BERNAMA