Persatuan Bolasepak New Zealand (NZF) mengesahkan pemain futsal kebangsaan negara itu, Atta Elayyan, antara mangsa tragedi serangan pengganas di Christchurch, kelmarin.

Elayyan, 33, pernah melakukan 19 penampilan antarabangsa kelas A bagi skuad Futsal Whites itu.

Penjaga gol kelahiran Kuwait itu sedang melakukan ibadah solat Jumaat di Masjid Al Noor ketika dia menjadi antara 50 mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan itu.

"Masih sukar untuk memahami apa yang berlaku di Christchurch pada petang Jumaat," kata Ketua Eksekutif NZF, Andrew Pragnell, dalam satu kenyataan.

"Bagi pihak NZF, ingatan dan doa kami kekal buat semua yang terkesan dengan tindakan keganasan itu.

"Saya meratapi kesedihan komuniti futsal.

"Mereka adalah pasukan yang sangat rapat dan berita kematian Atta ini akan memberikan kesan terhadap semua yang terlibat dalam sukan ini.

"Kami merasakan kepedihan dan kesedihan mereka."