Sukan kekal menjadi agenda penting kerajaan dengan dana tambahan akan disuntik sebaik sahaja ekonomi negara kembali stabil.

Dalam pada itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu persatuan sukan mengubah mentaliti apabila membicarakan soal kewangan.

Pembubaran inisiatif persiapan atlet seperti Program Podium menjadi petanda bahawa sukan Malaysia tidak lagi boleh bermewah.

Malah, persatuan sukan juga terpaksa mengikat perut dengan mengurangkan perbelanjaan.

Kerajaan Malaysia, menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dalam ucapannya dalam Majlis Malam Anugerah MOM Ke-25, kelmarin, akur dengan keperluan untuk memberi sokongan tambahan kepada sukan negara.

"Saya telah mendengar keluhan banyak pihak bahawa persatuan-persatuan kebangsaan melahirkan rasa tidak senang hati berikutan peruntukan untuk pembangunan sukan dikurangkan atau dikaji semula.

"Kerajaan mengambil maklum hal ini tetapi berdepan hakikat kekangan kewangan pada masa ini.

"Kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan mahu penglibatan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyokong usaha pembangunan sukan negara," ujar Dr. Wan Azizah.

Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, bagaimanapun, berpandangan badan induk itu dan ahli gabungannya perlu belajar untuk lebih proaktif dalam memastikan kelangsungan program tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.

"Kami mesti membimbing persatuan-persatuan supaya dapat lari daripada kebergantungan sepenuhnya terhadap kerajaan.

"Kami perlu lihat langkah pemasaran persatuan sukan untuk bagaimana mereka meningkatkan pemasaran dan mencari jalan agar tidak bergantung 100 peratus dengan peruntukan kerajaan," kata Norza.