Tamatnya Tour de Selangor 2017 menyaksikan barisan pelumba tempatan mendominasi kesemua lima peringkat saingan, didorong percaturan bijak beberapa pasukan untuk menaikkan kembali nama pelumba mereka.

Paling menonjol sudah semestinya pelumba Sapura Cycling, Muhammad Zawawi Azman, yang dinobatkan juara sulung Tour de Selangor serta berjaya merangkul jersi merah raja bukit.

Pasukan Sapura Cycling, yang baru sahaja ditubuhkan kurang daripada 10 bulan lalu, berjaya untuk menempa nama dalam arena berbasikal tempata, apabila turut dijulang sebagai pasukan terbaik.

“Ini merupakan satu kejayaan yang sangat bermakna sebagai penamat untuk saingan tahun 2017,” kata Zawawi.

TSG Terengganu pula yang sebelum ini tampak dominan dalam saingan tempatan, cuba memberikan peluang untuk menaikkan kembali prestasi pelumba muda, Nur Aiman Mohd Zarif, yang tenggelam
hampir setahun.

Dia berjaya merangkul jersi putih pelumba muda terbaik dan turut menamatkan saingan keseluruhan di tangga kelima.

“Kejayaan meraih jersi putih amat membanggakan buat diri saya selepas lama menyepi daripada saingan sebelum ini,” kata Aiman.

Pasukan negeri seperti JDT dan Selangor tampak tenggelam dalam edisi kali ini, kecuali Sitra Kelantan yang masih mampu mencatat keputusan baik, menerusi Saufi Mat Senan yang berjaya
menaiki podium pada peringkat ketiga dan keempat.